Friday 3 May 2013

Catatan perkongsian pengalaman Cikgu Azreen mengaplikasikan teknik nabi dalam menangani pelajar corot.

3/5/2013 - Hari ini berkat banyak atau kerap penggunaan teknik memuji menampakkan kesan positif alhamdullilah...Kelas di waktu akhir banyak menguji seorang pendidik dalam mengawal kelas, lebih-lebih lagi kelas corot.

Tingkatan 2 Firus yang menempatkan 3 orang pelajar corot  yang sememangnya tidak suka atau berminat dalam melibatkan diri dalam proses pnp dan membuat latihan, yang mereka tahu buat kerja mereka sendiri dan bercakap-cakap kosong. Ketika masuk kelas ini, semuanya meminta untuk tidak belajar kerana waktu akhir, tiada mood katanya. Guru memikirkan cara yang berkesan untuk menarik minat mereka.

Guru meminta semua berdiri kerana melihatkan keadaan yang agak bising tapi dalam keadaan yang terkawal. Guru memberi salam sambil merenung tajam ke arah beberapa orang pelajar yang masih tidak bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran ( tidak mengamalkan kaedah lazim: marah dan membebel), alhamdullilah.....menjadi, semua pelajar senyap sambil mengeluar buku teks BM. Kemudian guru  menuliskan ayat di papan putih "Suasana kelas ini amat bising" sambil menanyakan soalan, "Sesiapa boleh nyatakan kata adjektif daripada ayat ini?". Pelbagai jawapan diterima, akhirnya Suraya memberikan jawapan yang betul dan dibenarkan duduk. Guru memuji ( teknik nabi) keberanian Suraya mengangkat tangan untuk cuba menjawab dan jawapannya tepat.

Guru memberikan penerangan lanjut tentang kata adjektif. Seterusnya, guru meminta pelajar menyebut 9 jenis kata adjektif  dan membina ayat bagi setiap jenis tersebut. Pelajar memberikan kerjasama yang baik dengan masing-masing mengangkat tangan untuk memberikan jawapan sambil guru menulisnya di papan putih. Akhirnya, tinggallah 15 minit sebelum balik....guru meminta pelajar menyalinnya di dalam buku tatabahasa. Tanpa merungut dan mengeluh mereka menyalin dengan kusyuknya termasuk 3 orang pelajar tadi sehingga siap dan hantar (guna kertas kerana tidak bawa buku tanpa disuruh dan diambilkan untuk mereka). Tiba-tiba 2 orang pelajar (Tengku dan Adam) lewat masuk. Guru tidak menyiasat dan membenarkan mereka masuk (tidak mengamalkan amalan lazim: menanyakan ke mana mereka pergi, marah serta memberikan hukuman). Pelajar-pelajar itu menerangkan sebab mereka lewat dengan sendirinya (perjumpaan kelab hoki).

Sebelum memberi ucap terima kasih, guru meminta mereka menepuk tangan dengan kuat untuk diri mereka sendiri kerana semua berjaya menyiapkan tugasan dengan lengkap serta menghantarnya. Selain itu, apa yang menariknya 2 orang pelajar yang lewat itu tiba-tiba duduk dan menyalin dalam buku sehingga siap. Guru yang risau takut mereka tertinggal bas, tapi mereka menerangkan yang mereka balik berjalan kaki. Paling menggembirakan guru, mereka berkata "Kami sanggup balik lewat nak siapkan kerja yang cikgu berikan ini". Terharu!!!!!Lebih bersemangat untuk meneruskan teknik nabi ini. In Sha Allah

Mutiara Kata Al Qarni:
"Kepedihan dalam mencapai cita-cita adalah nikmat, keletihan dalam mewujudkan obsesi adalah ketenangan, peluh kerana kerja adalah pewangi dan pujian yang baik adalah wewangian yang semerbak"




No comments:

Post a Comment